Monday, October 22, 2007

INI ADA SATU CERITA...

Bagi mempelbagaikan karya yang dihasilkan selain lukisan kartun, maka saya tampilkan 'CERITA DALAM CERITA'. sama-samalah kita menghayatinya...


SEBALIK SYAWAL.

Izinkan aku berkongsi kisah ini dengan semua pembaca. Nama aku Jamil. Aku anak yatim piatu…mak dan ayah aku dah lama meninggal dalam satu kemalangan di laut, ketika itu aku berumur 6 tahun lagi. Masih segar dalam ingatan aku, subuh itu mak dan ayah keluar ke laut awal pagi. Sebelum pergi Ibu menggerakkan aku…ibu kata mereka nak ke laut. Aku hanya memandang wajah ibu. Ibu tersenyum sambil mengusap-gusap kepala aku. Dalam subuh yang hening itulah sudah tertulis mereka akan meninggalkan aku buat selama-lamanya.

Tiga hari kemudian aku melihat jasad mak dan ayah aku diusung ke tanah perkuburan. Masa tu aku bernasib baik sebab atuk ada bersama aku. Aku memeluk erat kaki atuk sambil melihat jasad mereka dikebumikan. Atuk kata mak ayah aku dah takde…dah meninggal…aku takkan dapat jumpa mereka lagi. Pada saat itu apalah yang aku faham erti sebuah kematian. Aku hanya diam apabila atuk mendukung aku pulang. Sejak itu, aku tinggal bersama atuk. Atuk pula hanya tinggal bersama bapa saudara aku, nama dia budin. Aku panggil dia pakcik budin. Nenek dah lama tiada, bercerai dengan atuk masa bapa aku kecil dulu.

Sejak ketiadaan mak ayah..aku dipelihara oleh atuk. Tapi atuk pun dah tua…dia selalu batuk-batuk. Kadang-kadang aku nampak atuk muntah darah. Pakcik budin tak pernah ambik tau hal atuk. Dia selalu balik marah-marah dan minta duit kat atuk. Kalau atuk tak bagi dia lempang atuk. Atuk selalu pesan kat aku. Dah besar nanti jangan jadi macam pakcik budin. Dia kaki dadah dan judi. Kerja tak mahu. Aku kesian kat atuk…pagi-pagi atuk meredah kesejukan pagi menoreh getah. Kadang-kadang aku akan ikut atuk. Tapi apalah yang mampu aku Bantu atuk. Tapi atuk tak kisah. Dia selalu jugak pesan aku kena belajar rajin-rajin…atuk kata tiada siapa dapat bantu kita melainkan ilmu pengetahuan. Kalau kita berilmu orang akan hormat kita. Aku hanya mengangguk-anggukkan kepala.

Suatu hari, atuk bertengkar dengan pakcik budin. Aku dengar pakcik budin menengking atuk. Aku berlari mengintai di sebalik daun pintu. Aku nampak Kepala atuk berdarah. Atuk ternampak aku merenung dia. Atuk suruh aku lari!!!! Tapi aku nak lari ke mana? Aku takut….pakcik budin semakin naik hantu. Dia sepak perut atuk banyak kali. Atuk batuk dan rebah menyembah tempayan di tepi tangga. Prang!!! Pecah tempayan tu disebabkan terhantuk dek kepala atuk. Tubuh Atuk tak bergerak. Pakcik budin selamba meludah-ludah atuk sambil memaki hamun dengan kata-kata kesat. Aku lari ke arah semak di belakang rumah atuk. Aku menangis….aku teringat pada mak dan ayah…atuk aku. Aku takut sangat.

Akhirnya aku tertidur di sebalik rimbun semak samun itu. Bila aku tersedar..aku nampak orang ramai kat rumah atuk…ada beberapa orang anggota polis yang berlegar-legar di sekitar tempat atuk rebah. Aku berlari naik ke rumah atuk. Aku lihat jasad atuk terbujur kaku diselimut kain putih. Aku menangis sebab selepas ini aku sudah tiada siapa lagi untuk di sayangi. Pakcik budin tidak dapat dikesan. Aku dengar ada orang cakap dia dah lari. Aku benci pakcik budin. Kini aku tinggal di rumah anak-anak yatim…sudah lapan belas tahun perkara ini berlaku..tapi apabila menjelang aidilfitri dan kedengaran takbir raya….hati aku jadi sayu….airmata aku akan menitis dengan sendiri…aku tak tahu kenapa?…mungkin aku rindukan mereka yang pernah menyayangi aku.
AL-FATIHAH BUAT MAK, AYAH DAN ATUK…semoga Allah menempatkan mereka dikalangan orang-orang yang beriman…AMIN…..



FELDA MENANGIS...
“…Dalam kehidupan ini yang terindah melalui usia remaja. Suka duka silih berganti meninggalkan kesan abadi…”. Karim menyanyi-nyanyi kecil lagu dari cerita ‘Ali Setan’. Dia berasa begitu indah sekali meniti usia remaja, apabila menyanyikan lagu itu.
“Aku tak tahu kenapa aku jadi begini. Kenapa aku terlalu bodoh dan daif dalam memilih haluan hidup aku. Aku sendiri yang mencorak hidup aku ke arah kehancuran, kegelapan dan kebinasaan” keluh Karim. Karim merenung jauh. Fikirannya mula mengimbas kembali pelbagai peristiwa yang telah dia tempuh sepanjang perjalanan hidupnya.

Karim bin Karom nama yang tertulis dalam kad pengenalannya. Dia datang dari keluarga yang sederhana. Bapanya hanya seorang peneroka Felda. Dia dilahirkan dan membesar di Felda ini. Sejak berusia 7 tahun dia telah dilatih oleh ayahnya berkerja di ladang. Pada usia muda begitu, tugas memungut buah relai ( biji sawit yang terlerai dari tandannya) sahaja yang mampu dibuat olehnya. Oleh sebab itulah dia sudah tidak kekok bila diminta membantu ayahnya di ladang. Kehidupan sebagai anak peneroka banyak mengajarnya erti kesusahan dan kemiskinan.

Di Felda ini tiada hiburan seperti di bandar besar yang mewah dengan hiburan. Ketika di sekolah rendah karim merupakan murid yang pintar dan berpotensi untuk mengecapi kejayaan dalam pelajaran. Tetapi segala-galanya musnah apabila usia Karim meningkat remaja. Ketika itu dia bersekolah asrama. Sekolahnya pula terletak berhampiran dengan bandar. Ketika inilah dia menerima satu kejutan dengan persekitaran yang jauh berbeza dari Feldanya. Dia mula bergaul bebas bersama rakan-rakannya yang kebanyakannya terdiri daripada budak-budak bandar di situ. Dia seronok dengan berkawan dengan mereka kerana kawan-kawannya itu banyak membuka mindanya yang selama ini terlalu sempit dan ortodoks. Akibat terlalu mengejar keseronokan dengan persekitaran baru itu, Dia mula alpa dan mengabaikan pelajarannya. Karim masih ingat dimana dia sanggup ponteng sekolah semata-mata hendak mengikut ajakan Meran gagap melepak di cyber café. Akibatnya dia telah ditempeleng oleh cikgu Wahab yang kebetulan terserempak dengannya ketika itu.

Tetapi dia tidak pernah insaf atas peristiwa itu. Sebaliknya tabiatnya mula semakin liar. Karim lebih kerap ponteng sekolah. Pada asalnya dia hanya melepak di cyber café. Kemudiannya dia mula lebih berani berpeleseran di kompleks membeli belah dan pusat video game. Di situ dia mula belajar merokok dan membuat benda-benda bengong. Sejak itu dia lebih menyayangi kawan-kawan yang sealiran dengannya. Dia menganggap kawan-kawannya itulah yang paling memahami jiwa dan kehendaknya.

Perkara ini akhirnya diketahui oleh keluarganya. Karim sudah tak makan saman dek nasihat ahli keluarganya. Pernah dia menengking ibunya dengan kata-kata yang tidak sepatutnya dihemburkan oleh seorang anak. Baginya ibunya lebih banyak menyusahkan hidupnya. Akibatnya Karim bertindak berani menampar muka ibunya kerana geram dengan leteran ibunya. Bukan setakat ibunya sahaja dia berani melawan malah ayahnya juga. Dia pernah menghambat ayahnya keliling rumah dengan sabit gara-gara ayahnya memarahi dia mencuri duit ibunya.

Sejak itu dia mula jarang duduk di rumah. Baginya rumahnya itu hanya tempat dia makan, minum dan tidur macam hotel. Karim mula semakin jauh dari keluarganya. Bagi Karim, keluarganya hanya tahu mengongkongnya. Tidak seperti kawan-kawannya yang lebih memahami dirinya, memberi apa sahaja yang dia mahu dan lebih world. Karim sanggup berembun sehingga lewat pagi semata-mata menemani rakan-rakannya bersidai di tembok kampungnya sambil bermain gitar. Kadang kala dia langsung tidak pulang ke rumah, sebaliknya bermalam di rumah kawan-kawannya yang berperangai ntahapa kejadah itu.

Dari hari ke hari Karim menjadi semakin liar dan terasuh dengan kebiadapan hidup yang terlampau. Keadaan ini menyebabkan dia dibuang sekolah kerana masalah displin yang terlalu kronik. Tidak ada sekelumit pun rasa menyesal di dalam dirinya. Malah dia berasa bangga dan gembira kerana tidak perlu lagi ke sekolah. Baginya, sekolah merupakan tempat yang paling membosankan dan seperti ‘penjara’.

Semenjak dia dibuang sekolah, Karim mula bekerja mengambil upah memotong kelapa sawit. Dia mula seronok apabila mendapat duit upah, walaupun nilainya tidak seberapa. Tetapi dia seronok kerana dengan duit itu dia dapat membeli rokok dan gam. Ini bermakna, untuk mendapatkan duit sudah tidak menjadi masalah untuknya. Jika tiada duit lagi dia akan mengambil upah memotong kelapa sawit. Keluarganya sudah tidak tahu bagaimana lagi hendak mengawal dan menasihati Karim. Mereka mengharapkan suatu hari nanti karim akan sedar dan kembali ke pangkuan keluarga seperti dulu. Hanya Tuhan yang mampu membuka jalan dan memberi hidayah kepada Karim untuk berubah.

Pada suatu hari. seperti biasa Karim merambu bersama kawan-kawanya. Entah macam mana ketika mereka berbual kosong, Man Biol mencadangkan agar mereka mencari besi-besi buruk untuk dijual kepada Raman Sangap. Hasilnya tentu lumayan. Maka mereka bersepakat mencari besi-besi buruk di sekitar feldanya itu.
Apabila barang-barang itu sudah terkumpul. mereka menjualkannya kepada Raman Sangap. Dengan terjualnya besi-besi buruk itu. mereka mendapat bayaran yang lumayan. Ini bermakna mereka tidak perlu lagi bersusah payah memotong kelapa sawit untuk mendapatkan wang. Apabila tiada duit mereka mencari besi-besi buruk pula yang boleh dijual. Pada suatu hari mereka kehabisan sumber besi untuk dijual. Akibat terdesak, mereka telah mencuri besi-besi kepunyaan penduduk feldanya itu pada waktu malam. Keadaan ini menimbulkan kemarahan penduduk felda itu kerana besi-besi kepunyaan mereka telah hilang dari simpanan. Oleh kerana terlalu kerap berlaku kecurian besi ini, maka penduduk felda bersepakat menangkap orang yang mencuri besi mereka.

Mungkin ada hikmah atas segala yang berlaku. Karim akhirnya tertangkap bersama kengkawannya. Kini dia terdampar jauh dari dunia luar. Kebebasan yang di cari selama ini hanya seketika. Kini dia terkurung bertahun-tahun tanpa kebebasan. Apabila dia terpandang burung yang berterbangan di udara, airmata Karim menitis. Dia merasakan bahawa burung-burung itu jauh lebih bebas dan beruntung dari dirinya yang terkurung di sebalik ‘sangkar besi’ ini. Dia mula teringatkan ibu, ayah dan adik beradiknya. Satu persatu nasihat ahli keluarganya tergiang-giang di telinganya. Dia mula sedar bahawa segala nasihat mereka adalah benar. Hanya dia yang terlalu bahalol untuk memahaminya. Sememangnya mereka semua terlalu sayangkannya. Karim bertekad dalam dirinya bahawa dia akan berubah menjadi manusia yang lebih berguna selepas tamat menjalani hukuman nanti.

Dia mula menyedari bahawa kerana sikap segelintir remaja Felda sepertinya, masyarakat luar melabelkan kesemua remaja Felda sebagai remaja yang tidak bermoral, tidak berakhlak dan bermasalah. Jauh di sudut hatinya berbisik, “semua ini bukan salah Feldaku, aku yang mencemarkan nama Felda ku…” .
Karim mendongak ke langit dia menghirup udara dalam-dalam. Dengan rasa sebak dan sesal, lantas dia menjerit sekuat hati “ JAUHI DADAH! BELIA BENCI DADAH!!!” . Semoga laungan keramat Karim ini akan menyelamatkan seluruh anak bangsa kita tidak kira sama ada mereka adalah remaja di Felda, Felcra, kampung mahupun di kota metropolitan. ABIH.

2 comments:

AbGJaS said...

Salam Johan,
Cerita2 kehidupan yg dipaparkan tentunya boleh diasingkan nilai baik dan buruknya utk menjadi panduan.

Bagaimana malang pun nasib kita, pasti ada org lain yg lebih menderita.

Justeru, jgn sesekali berputus asa.

JOE said...

hi...sudah lama saya tidak menambah bahan dalam blog ni...selain atas sebab masalah kesihatan baru2 ini, saya juga terlalu sibuk dengan beberapa perkara berkaitan kerja. insya Allah...akan muncul beberapa paparan baru sedikit demi sedikit... melukis dan terus melukis!!!! yearghh!!!